Search This Blog

Saturday, March 12, 2011

Al-Fatihah Buat Tok Yang Amat Disayangi

Khamis- 3 Mac 2011, jam 8.00 pagi kuterima panggilan daripada ibu saudaraku Mak Teh mengatakan Tok tak sihat, sakit perut. Hatiku berdebar kencang, tak sedap hati... lantas ku telefon suamiku memberitahu. Suamiku ada tugas malam nanti untuk memberi ceramah kepada pengawas sekolahnya dalam program di Yan. Suamiku memberi izin aku pulang dengan anak-anak. Lantas aku membuat keputusan untuk pulang. Sedang bersiap-siap untuk pulang 8.20 pagi Mak Teh menelefonku menyampaikan khabar yang tak sanggup ku dengari, "Ida, tok tak dak dah...", "Innalillahiwainnailaihirojiunnn..." hatiku meronta-ronta Tok.... Tok... dah lama aku tidak menziarahimu, Tok dah lama aku tidak memelukmu, dah lama aku tak menciummu.... Allah hu akhbar. Mengapa ??? Mengapa ?? Mengapa?...

Kuhubungi suamiku menyampai berita pilu ini. "Innalillahiwainnailaihirojiun", kita balik kata suamiku. Lantas aku menulis pada buku kebenaran pulang di pejabat. Kuhubungi adik-adikku memberitahu penuh sebak suaraku. PK KOKO, Cg Azizan Aboo menyuruh aku pulang cepat. Terima kasih cikgu kerana memahami. Ucapan takziah daripada kawan-kawan kubalas dengan senyum yang kupaksa kerana dalam hariku tak dapat mengawal tangisanku. Kuhargai ingatan ikhlas Kak Dee buat aruah. Kucapai kunci kereta terus ke sekolah anak-anakku. Selesai urusan anak-anak suamiku pulang lalu bergegas pulang ke kampung.

Perjalanan 90km terpaksa dilalui dengan penuh kesabaran. Ayat-ayat suci kubaca khusus buat Tok yang amat kukasihi. Alhamdulillah hampir jam 11.00 pagi kami sampai ke rumah Mak Long di Guar Kepayang. Aku menahan perasaan sedih dalam-dalam. Kuhampiri sekujur tubuh kaku Tok yang sering aku rindui. Tok telah tiada. Ibuku sedang membaca Yasin dihujung kepala Tok. Kutatap wajah Tok putih bersih berseri-seri seolah-olah sedang tersenyum kepadaku. Kupeluk, kucium Tok sepuas hatiku. Maafkan ida Tok kerana telah lama tidak menjenguk Tok. Maafkan ida.. Walaupun kutahu hakikatnya ucapanku sudah tiada ertinya lagi. Kali terakhir kucium Tok pada hari raya haji tahun lalu. Tok masih sihat waktu itu. Kuluangkan masa berbual-bual dengan Tok. Kupeluk bahu Tok. Kucium pipi Tok, Tok senyum malu, Kucium tangan Tok, Kukucup dahi Tok sungguh menenangkan kurasa. Tok lebih banyak senyum daripada berkata-kata.

Aku suka bergurau dengan Tok. Aku suka melihat Tok ketawa menampakkan giginya yang sebatang itu. Rindunya aku pada Tok. Ohhh tidak Tok telah kembali kerahmatullah, mengadap Pencipta Yang Esa. Kuambil air sembahyang ku sertai saudaraku yang lain membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat Tok. Aku sama-sama mandikan Tok, Pakaikan bedak dan air mawar buat Tok.Kucium Tok buat kali yang terakhir. Ku pergi ke kubur bersama keluarga yang lain. Talkin yang dibaca abahku (bapa saudaraku tapi kupanggil abah) terlalu menyebakkan semua yang ada di kubur waktu itu, ayahku juga menitiskan air mata. apa lagi adikku, adik iparku ibu saudara dan bapa saudaraku semuanya menahan sebak. Aku sendiri terisak tanpa suara tapi air hidung keluar laju juga.

Pusara tok ku tinggalkan. tak henti-henti kubaca Al-Fatihah buat Tok. Bersemadilah Tok dengan tenang. Ya Allah tempatkan Tok yang kukasihi di tempat yang mulia, tempat yang Engkau janjikan buat para Solehin. Ya Allah ampunkan segala dosa Tok. Halalkan segala makan minum Tok. Cucuri Rahmat buat Tok. Rahmati segala amal ibadat yang telah Tok lakukan sepanjang hidupnya. Tok banyak berjasa kepadaku. Dari kecil hingga dewasa Tok tidak pernah jemu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadaku. Menghulurkan bantuan, wang ringgit juga sokongan sehingga aku berjaya. Tok sentiasa mengingatkanku supaya tidak meninggalkan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, sentiasa berusaha untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang Allah Taala.

Tok, segala nasihat dan tunjuk ajarmu kujadikan landasan hidupku. Terima kasih Tok, kau tidak pernah jemu menasihatiku. Kenanganku bersamamu akan kuabadikan dalam hatiku sebagai kenangan yang terindah dalam hidupku. Akan ku ziarahi pusaramu dalam izin suamiku nanti. Selagi nyawaku dikandung badan aku tidak akan berhenti mendoakanmu, Al-Fatihah buatmu Tok. Ida sayang Tok. Ida rindu Tok...

No comments:

Post a Comment