Search This Blog

Saturday, March 26, 2011

KARANGAN UPSR BUAT ANAKKU NUR ADILA...


KEBAIKAN MEMBAWA BEKAL KE SEKOLAH
Setiap hari kita diberikan wang saku oleh ibu bapa untuk membeli makanan dan minuman di kantin sekolah. Namun begitu, kita juga boleh membawa bekal ke sekolah. Membawa bekal ke sekolah sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada kita.

Apabila kita membawa makanan sendiri ke sekolah, kita akan dapat menjimatkan wang kita. Wang saku yang diberikan oleh ibu bapa kita boleh disimpan di dalam tabung atau di bank. Lama-kelamaan wang tabungan kita akan bertambah, seperti kata pepatah, “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”.

Selain itu, makanan yang dibekalkan oleh ibu kita semestinya sedap dan berkhasiat. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terkena keracunan makanan. Kita juga akan lebih berselera untuk menikmati makanan yang dimasak oleh ibu pada waktu rehat.

Di samping itu, kita tidak perlu lagi berebut-rebut atau beratur untuk membeli makanan di kantin. Kita dapat menjamah terus makanan yang dibawa dari rumah. Masa rehat kita dapat dijimatkan. Oleh itu, kita masih ada masa untuk membaca buku atau akhbar di perpustakaan.

Kita juga boleh bertukar-bertukar atau berkongsi bekal dengan kawan-kawan kita. Dengan ini, perhubungan kita dengan kawan-kawan akan menjadi lebih erat. Selain itu, hubungan kasih sayang antara kita dan ibu juga akan bertambah erat.

Kesimpulannya, membawa bekal ke sekolah memang mendatangkan banyak manfaat kepada kita. Oleh, itu ada baiknya amalan tersebut kita lakukan untuk kebaikan diri kita sendiri.

CEPATNYA MASA BERLALU...

Siang malam terasa begitu pantas berlalu. Seolah-olah tidak terkejar olehku. Cuti seminggu tidak terasa seperti bercuti. Apa lagi puteri tengahku akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Kelas tambahan tiap-tiap hari. Hari rabu habis kelas tambahan di sekolah jam 12.30 aku dan suami berkira-kira untuk pulang ke kampung berjumpa ibu dan ayah. Sebelum itu ada kenduri yang perlu kupenuhi jemputannya. Dengan kawan-kawan kuberjanji untuk ke rumah kenduri bekas anak muridku Rosmalina Abdul Rahman, kebetulan keluarganya jiran lamaku di Taman Bersatu. Mia, puteri bongsuku ku bawa bersama.

Pulang dari rumah kenduri kukemas pakaian untuk pulang ke kampung. Sesampai di kampung kulihat ibu dan ayahku baru pulang dari rumah kenduri juga, sedang mandi. Kerehat sejenak ambil angin diluar rumah, kulihat tanaman mak dan ayah... ulam-ulaman segar bugar sedapnya pasti kuambil buat makan malam nanti. Sejurus kemudian kulihat kepala ibuku dibedah buang ketumbuhan isi diluar tempurung kepala, besar juga lebih besar daripada biji guli. Alhamdulillah pembedahan kecil dan selamat. Cuma mak (ibuku kupanggil mak) mengadu kulit kepalanya sakit kerana cekang. Kuletakkan sedikit ubat pink (New Cell) biar cepat sembuh. Tapi mak banyak bersabar. Selama ini pelbagai ujian... dugaan... masalah.. diharungi juga oleh mak dengan penuh ketabahan. Ida doakan mak cepat sembuh.

20 haribulan, sekolah dibuka seperti biasa. Keputusan SPM tiga hari lagi... Risaunya aku. Prestasi Bahasa Melayu bagaimana???? Entahlah.. Harapan setinggi gunung agar prestasi meningkat pada tahun ini.  Peserta-peserta  Bahas Ala Parlimen sedang berlatih berbahas. Emm kena luangkan sedikit masa latih mereka. Mereka perlu berani, menguasai usul yang dibentangkan dan berfikiran tajam untuk menjawab soalan pihak lawan dengan spontan. Apa yang penting kena tenang. Baru fikiran berfungsi dengan cerdas. Selebihnya mestilah bacaan luas. Bahas ala parlimen sekarang tak seperti dulu lagi perlu disampaikan secara bersantai biar nampak profesional. Tak boleh tengking-tengking, kena senyum dan bidas bersulamkan bukti yang kukuh. Data dan statistik perlu diberikan agar usul diterima sebulat suara tanpa kompromi.

21 Mac, ke sekolah seperti biasa.. Jam 10 kudiberikan tentatif program oleh Kak Yam GKTV -Majlis perpisahan Kak Yam Staf Pejabat sekolahku, ditugaskan sebagai pengacara majlis. Adusss... kena bersedia nih.. Nanti kantoi aku kat depan majlis. Alhamdulillah skrip pengacara masa persaraan allahyarham Guru Kanan Sains dan Matematik Cikgu Mat Hassan Mat Isa ada dalam simpanan. Al-Fatihah buat aruah.. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Gelut juga aku menyiapkan skrip. Aku ni jenis pengacara yang wajib ada skrip. Tak pandai aku nak mengendalikan majlis secara spontan. kih.. kih.. kih.. tergelak sendiri aku. Teruk betul la aku ni... Alhamdulillah majlis berlangsung dengan jayanya, persaaaannnn akula.... Selesai majlis ada pengumuman daripada pengetua bahawa esok ada pemantauan. Mak tttulunnnn fail panitiaku, fail rancangan mengajarku. Perlu up to date ushhhh...

22 Mac, seperti yang dijanjikan pemantauan dilakukan. Nampaknya lancar.. lain-lainnya tak tahulah... Peserta-peserta Bahas Ala Parlimen seperti sudah bersedia nampaknya. Wah berita terkini team netball sekolah bawah 15 tahun JOHAN Zon Baling.. Tahniah.. Tahniah.. Esok bawah 18 tahun pulak ada aura nak menang besar ni... Pelajar-pelajar  SMKTP ni berkebolehan.. guru-gurunya pun hebat-hebat... Emmm puji diri sendiri laaaa... Esok aku perlu jadi Hakim Bahas Ala Parlimen di SMK Chepir, nasib baik Kekandaku Kak Zai tidak keberatan untuk mengiringi Peserta-peserta Bahas. Kereta Wiraku tu boleh ka sampai ke SMK Chepirrrr. Risau jugak aku.. Insyaallahhh dengan izin Allah sampai.

23 Mac, keputusan SPM diumumkan. Aku di SMK Chepir. Gimana nih.. Kuhubungi kawan-kawan katanya analisis kena buat sendiri. Tak tau lagi gimana? Waduh waduh naik ka sebaliknya??? Harap-harap naik la. GK Kak Hasnah kata turun 2 peratus. Sedihnyaaa. Usaha yang dilakukan tahun lepas seperti kurang berhasil nampaknya. Hilang cara aku jadiknya. Tapi perlu kuterima seadanya.. Kekadang kita merasakan apa yang kita lakukan seperti sia-sia juga. Mengapa sia-sia.. mengapa? mengapa??? Bagaimana untuk menukarkannya menjadi sebaliknya agar lebih bermakna ?? Ya Allah tolonglah hambamu yang lemah ini. Berikan aku hidayahmu, petunjukmu agar jalan atau cara yang kupilih lebih bermakna. Amin..

24 Mac, Bila kulihat hasil analisis yang telah dibuat oleh Kak Yam GKTV, nampak seperti naik sedikit keputusan SPM 2010 berbanding tahun lepas. Entahlah bukan muktamad lagi keputusan ini. Ku analisis sendirian seperti turun juga prestasinya 0.09 peratus. Kuberitahu suamiku.. katanya kalau kosong point tu tidak mengapa, jangan risau.. jangan susah hati. Yang penting tahun ini cari jalan buat yang lebih baik. Uphhhh liku-liku kehidupan ini membuatku terasa seperti berduri-duri. Ya Allah berikan daku kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang... Hanya padaMu tempatku berserahhhh...

Jumaat 25 Mac, suamiku bersenang hati membawaku dan anak-anak ke Kuala Kangsar jalan-jalan tambah pengalaman dengan kereta Mercedes mata kacang impianku. Ha ha ha... Kedai kereta bagi pinjam sebab nak bawa Estima ke Puspakom. Ada urusan yang belum selesai. Wah meluncur laju di lebuh raya. Kupandu sekejap sewaktu suamiku mengantuk.. Kereta luar negara ni bukan nak kata, memang ada kelasss laaa.. Cuma aku ja yang teragak-agak, signal dok sebelah kiri, hand break kat kaki, tarik di tangan aku tak biasa.. Bawak sekejap ja. Risau juga jadi apa-apa naya... Singgah di Sayong beli labu sayong.. Anak-anak dok pakat pilih nak hadiah kat kawan-kawan depa. Layan la juga seadanya...


26 Mac, sudah pada penghujung bulan kita berada. Begitu cepat masa beredar meninggalkan kita. Kita masih terkapai-kapai mencari ruang dan cara untuk bertindak sebaiknya. Tahniah kepada guru-guru panitia Agama Islam, Sejarah, ERT, Sains dan Matematik yang meningkat tinggi nampaknya. Ada perkara yang perlu dikongsi. Tahniah juga team netball bawah 18 tahun JOHAN lagi. Syabas diucapkan. Mara ke peringkat daerah dengan penuh YAKIN untuk merangkul JOHAN lagi.. Minggu depan Kiuz Tatabahasa perlu direalitikan. Sahabatku Niza sibuk lagi ka dia??? Hari selasa dan rabu kupilih sebagai pertandingan di Pusat Sumber. Ayuh pelajar-pelajarku ambil bahagian ramai-ramai.

27 Mac, rutinku diteruskan mengikut kebiasaan. Fail Rancangan Mengajar perlu diserahkan kepada Kak Yam GKTV untuk disemak.  Rancangan Harian untuk esok tak siap lagi. Kuperlu berhenti di sini ada masa nanti kutulis lagi. Anakku Adila sedang belajar di Pusat Tuisyen NLC. Kudoakan agar anakku dapat memahami dan menguasai ilmu yang dipelajari. Ya Allah kurniakanlah akal fikiran yang baik, daya ingatan yang kuat, hati yang terang kepada anakku Adila agar mudah menerima ilmu yang diajarkan. Kedudukannya yang sederhana dalam pencapaian peperiksaan yang lalu amat merisaukanku. Ya Allah hanya padamu kupohon. Berilah kejayaan yang cemerlang kepada anak-anakku khususnya Nur Adila yang akan menduduki peperiksaan UPSR september ini.. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Monday, March 14, 2011

PERKHEMAHAN KRS SMKTP & EKSPEDISI JALAN LASAK KE GUA KELAMBU

Khamis.. 10 Mac 2011 - Aku berpeluang mengikuti perkhemahan KRS dengan izin Allah dan kebenaran suamiku. Pulang dari sekolah agak lewat kerana ada taklimat Headcount PMR daripada Cg. Mariyam binti Ali. Ku lihat Ustaz Rifae juga gelisah kerana agak lama taklimat HC yang disampaikan. Lebih kurang jam 3.16 petang baru sampai ke rumah.

Di rumah anak-anak sudah pulang diambil oleh suamiku yang agak awal pulang dari sekolah kerana Merentas Desa SMK Parit Panjang. Kucapai penyapu sapu sampah. Baju-baju kuangkat dari ampaian, pinggan-mangkuk kucuci, dapur semua clear. Baru kuambil tuala dan mandi. Lega rasanya... kucari baju untuk kupakai agak sesuai dengan perkhemahan. Perkhemahan ini yang pertama kuikuti sepanjang perkhidmatanku sebagai AJK yang bertugas. Aku salah seorang guru KRS. Aduh camana nih nak tidur kat sekolah dalam khemah dan aku tak boleh sembahyang pulak. Risau juga dengan keadaan sekolah sekarang yang selalu berlaku histeria. Aku harus kuat... Ayat Kursi Kubaca dalam hati sepanjang masa.

Alang-alang pukul 4.38 biar kutunggu jam lima untuk pergi ke sekolah. Suamiku asyik dengan bahan-bahan penulisannya. Kulelapkan mata hampir 10 minit di ruang kerja suamiku bagi menghilangkan penat. Hampir jam lima kuberitahu suami untuk pergi ke sekolah. Sesampai di sekolah sudah ramai pelajar ahli KRS berkumpul di kantin. Kak Fishah guru sesi petang mengumpulkan wang ahli KRS. Kelihatan kaunselor Cg. Umi Kalsum membawa bayi comelnya yang berusia 3 bulan dan  Ustaz Izzat yang mengajar sementara di SMKTP berakhir hari ini juga turut serta. Nampaknya guru perempuan yang nak bermalam belum sampai lagi. Tapi kereta nampak macam kereta Cg. Joriah ada, mungkin dia di bilik guru.

Selang beberapa minit Ustaz Rifae sampai dan mengarahkan semua KRS naik ke kawasan perkhemahan di sekitar surau sekolah. Setelah semua berkumpul di hadapan surau, hujan pun turun sederhana lebat. Pelajar-pelajar berkumpul di Balai HM Noor. Taklimat disampaikan, Cg Joriah pun sampai. Lega rasanya ada kawan. Dalam rintikan hujan pelajar-pelajar mendapat gambaran tentatif program daripada Kem Komandan Cg Khairil. Tugasku selepas ini ialah menyediakan makan malam, hanya masak nasi dan goreng telur dadar sahaja. Gulai daging dan sayur serta buah limau dah dibekalkan dari asrama. Cg. Roslan sampai berikan khemah kepada ahli-ahli KRS.

Ustaz Shamsir yang akan menggantikan Ustaz Izzat dahpun membasuh beras, aku cuma menyukat air agar sesuai dengan nasi sebanyak 5 kilo. Agak risau aku kerana tak pernah masak 5 kilo nasik ni. Agak-agak tak mentah sudah la, lembik sikit tak pa... Emmm pelajar-pelajar sedang memasang khemah masing-masing kat bawah parking kereta. Empat orang pelajar perempuan jadi pembantu guru untuk kerja-kerja memasak. Kuminta mereka menyediakan bawang dan cabai untuk dimasukkan ke dalam telur dadar. Selesai semuanya nasi pun masak cantik la. Alhamdulillah... Cg. Afifah Salwa (Fifah) pun sampai. Ok la tiga orang cikgu perempuan.

Telefon berbunyi, anakku Mia menangis nak ikut umiiii. Kupujuk sekejap lagi umi balik ambil. Selesai masak, semua makanan disusun di atas meja. Air iodin disediakan. Air dijerang untuk dibancuh teh o'. Telefon berdering lagi, Mia dah tak sabar nak ikut. Kuberitahu Ustaz Rifae dan Joriah, lalu kupulang mengambil Mia. Mia nak tidur dalam khemah...kubawa bantal dan toto serta kain batik untuk Mia. Sesampai di surau pelajar diberi tazkirah oleh Ustaz Izzat. Ku bawa Mia ke dalam surau untuk turut serta, berkali-kali Ustaz Izzat berpesan "Jangan Cabar Allah" tayangan video tentang kematian, alam neraka dan bagaimana malaikat maut mencabut nyawa amat memberi keinsafan jika dihayati sepenuh hati. Mia menutup mukanya dan hampir-hampir menangis kerana takut. Timbul perasaan ingin meminta semua tayangan video itu untuk di tayangkan kepada anak-anakku. Insyaallah jika ada kesempatan akan ku cuba usulkan kepada Ustaz Izzat.

Selesai tazkirah semua pelajar menikmati makan malam. Selesai makan malam mereka mengikuti kuliah ikatan dan bantu mula. Sementara tu aku rebus telur 60 biji untuk sarapan esok. Seterusnya praktikal tentang bantuan kecemasan kepada rakan-rakan yang cedera. Lapan kumpulan membentangkan kes masing-masing. Semua kena denda kerana salah memberi bantuan. Agak lucu dengan denda yang dikenakan, berenang atas darat, guling-guling atas kawan, lompat roti canai, baring nyanyi aksi Doremon, Lompat power ranger's dan macam-macam lagi. Mia tergelak sakan. Kalau kak long dan kak ngah ada pun seronok juga dapat pengalaman berkhemah. Pendek kata macam-macam perkara yang ahli KRS dapat belajar. Tukar pakaian dalam masa 1 minit juga memerlukan disiplin dan mental yang kuat. Mia dah mula mengantuk..

Mulanya Cg. Joriah(Jo) minta untuk tidur di surau tetapi atas desakan Mia nak tidur dalam khemah dituruti juga. Nasib baik Cg. Azizah (Jijah)  dan lepas tu Cg. Adibah (Dibah) sampai. Biarpun agak lewat kerana ibu dan ayah Jijah dari Alor Setar datang ke rumah Jijah. Tak pa semakin berani kurasakan Jijah dan Dibah melayan kehendak Mia untuk memasang khemah. Nasib kurang baik pada mulanya kerana khemah-khemah yang tinggal kurang kemas. 3 biji khemah dicuba alhamdulillah jumpa juga yang elok. Excited sungguh Mia tidur dalam khemah. Sebelum tidur rombongan Che Qiah pi tandas kejap. Lepas tu tidoq tak tengok dah budak-budak. Dok kena denda tak habih-habih lagi. Jojo nampak letih sangat ada sebabnya tu aga tenat. Fifah pun tidur sama-sama, empat orang campur dengan Mia. Jijah dan Dibah tidur dengan AJK pembantu dalam 2 khemah. Esok kena bangun awai nak masak nasik lemak dan goreng ikan bilis.

Pagi dah, jam hp bunyi, bangun cuci muka, cuci beras, cucu ikan bilis sekali. Ustaz bagitau nasi cuci saja Cg. Rosli nak mai masak satgi. Syukran, syukran. Goreng ikan bilis je la. Goreng tanpa minyak dah kering letak sikit minyak. Mia belum bangun siap goreng ikan bilis aku perlu balik ke rumah hantar Mia, mandi dan tukar baju. Sebelum balik aku ke Baling beli sarapan untuk suami dan anak-anak. Jo dan Pifah balik Kuala Ketil tak mai dah, Jijah dan Dibah balik mandi kat rumah. Sampai di rumah mandikan Mia dan Mia sambung tidur. Siap tukar baju kembali ke sekolah. Semua dah siap sarapan, buka khemah, aku sarapan sikit. Sedap nasi yang Cg Rosli masak ni. Nak pakai kasut stoking ada sebelah. Aduhhh mesti termasuk dalam beg Mia pagi tadi. Jijah dan Dibah sampai. Tanya Jijah sat kot-kot ada stoking spare. Alhamdulillah ada....., stoking baru pulak tu. Wah selamat kakiku. 

Cg. Ishaiza juga turut serta. Semua barang siap dikumpul, disimpan dan ada yang dibawa ke Gua Kelambu.Aktiviti Jalan Lasak bermula. Hmmm selesa rasanya pakai stoking baru kot. he he he. Separuh jalan rasa penat juga. Tapi kenyamanan udara di sawah padi dan keindahan permandangan gunung Iboi tu menghilangkan kepenatan. Kadet-kadet KRS lajunya jalan tinggai cikgu kat belakang. Dah nampak pintu gerbang, sungai pastu titi ayun bagai melambai-lambai kehadiran kami. Tapak perkhemahan dah berada depan mata. Semua berkumpul. Aktiviti seterusnya Ikhtiar hidup. Kadet-kadet dibekalkan ikan kembung dan pisang sahaja. Selebihnya ihktiar sendiri. Guru sediakan nasi dan air teh. Tugasku masak nasi la... sikit ja sebab nasi pagi tadi ustaz bawak ada lebih banyak lagi.

Cg. Roslan dan Cg. Ishaiza siang ikan dan cuci guna air sungai . Nasi pun kucuci guna air sungai, AJK tolong ambilkan air. Makanan tengah hari siap masak. Kadet-kadet nampaknya semangat memasak ikut kumpulan masing-masing. Kreatif pulak tu. Ada air asam, pisang bakar, semua kumpulan hantar untuk cikgu juga untuk dirasa. Boleh tahan.. Selepas makan apa lagi mandi sungai la depa pelajar-pelajar lelaki. Main rakit la, main bola la, macam-macam. Masuk Jumaat semua pi masjid. Tinggai pelajar perempuan depa pulak mandi sungai. Aku kena kawal depa nih. Sat gi ada yang lemas ka, cedera ka, susah hati aku coz aku tak pandai berenang. he he he..  Tak pa la bagi depa main setengah jam. Bila kedengaran Azan Jijah dan Dibah suruh depa naik. 3 , 4 kali dah panggil tak naik-naik lagi ni.. Aku pun panggil jugak la, nak suruh depa solat zohor. Satgi aku kena bagi tazkirah pulak. Ishhh nak kata pa nih... Selesai depa sembahyang depa duduk dalam bulatan aku suruh depa bilang nombor sat  ada 25 orang ada yang dok sembahyang 2,3 orang.

Aku pun terfikir suruh depa cerita dan buat pengakuan ikhlas apa yang mereka dapat daripada program ini. Terharu juga aku dengan pengakuan ikhlas mereka. Aku cuba kaitkan dengan keindahan alam sekitar ciptaan tuhan, keseronokan mereka dan balasan mereka sebagai hamba Allah. Masing-masing diam penuh minat,  Ku cuba selitkan rasa syukur atas pengakuan mereka ingin berubah untuk melengkapkan solat 5 waktu. Alhamdulillah. Ku sampaikan pesanan guru agamaku dulu supaya lengkapkan solat 5 waktu selama lapan hari iaitu 40 waktu solat insyaallah selepas ini tak senang duduk jika tak solat. Insyaallah jika dipraktikkan, diusahakan akan dapat hasil yang baik.

Budak lelaki dah balik semua dipanggil berkumpul. Tak sempat mereka bersalaman sesama mereka, mereka bergegas ke tapak hadapan gua. Semua diberi peringatan supaya berhati-hati dengan menjaga keselamatan. Selesai membuat pemerhatian di dalam gua mereka berkumpul semula. Jijah dan Dibah masih di dalam sungai dok ajakku turun, tapi ku takut nak turun nanti berubah warna pulak air sungai tu.... hi hi hi... Kena pi dekat depa ni... Hmmm naik juga adik-adikku ni.. Budak-budak dah keluar dari gua. Jom.. Jom.. Nasib baik ada satu lagi gua berdekatan yang nak di masukki... Gua sireh kata cikgu Roslan. Semua kumpul bilang berapa yang nak pergi 30 orang ja nak pi, selebihnya tak mau pi dah letih...

Dalam gua, satu pengalaman yang menarik kulihat. Kekuasaan Tuhan Subhanallah. Maha Suci Allah... Aku kagum dengan muka bumi ciptaan-Mu. Ada banyak kulit siput putih dalam gua itu. Kenapa ya??? Ustaz kata kena terang kat luar gua. Sampai sekarang tak dapat lagi jawapannya. Sebelum balik, jenguk jugak dalam gua kelambu. Sejukkkkk macam ada aircond dalam gua ni. Dah nak balik.... Cg. Roslan pesan jangan balik terus, sampai rumah nanti basuh kaki dulu. Risau juga aku. Tak henti-henti kubaca ayat Kursi. Sampai di sekolah semua hp pelajar kukembalikan. Syukur Alhamdulillah.... semuanya selamat. Banyak pengalaman berharga kuperoleh...  Terima kasih semua yang terlibat. Pengalaman bersama berkhemah dan ke Gua Kelambu amat bermakna serta sentiasa dalam ingatan.. 

Saturday, March 12, 2011

Al-Fatihah Buat Tok Yang Amat Disayangi

Khamis- 3 Mac 2011, jam 8.00 pagi kuterima panggilan daripada ibu saudaraku Mak Teh mengatakan Tok tak sihat, sakit perut. Hatiku berdebar kencang, tak sedap hati... lantas ku telefon suamiku memberitahu. Suamiku ada tugas malam nanti untuk memberi ceramah kepada pengawas sekolahnya dalam program di Yan. Suamiku memberi izin aku pulang dengan anak-anak. Lantas aku membuat keputusan untuk pulang. Sedang bersiap-siap untuk pulang 8.20 pagi Mak Teh menelefonku menyampaikan khabar yang tak sanggup ku dengari, "Ida, tok tak dak dah...", "Innalillahiwainnailaihirojiunnn..." hatiku meronta-ronta Tok.... Tok... dah lama aku tidak menziarahimu, Tok dah lama aku tidak memelukmu, dah lama aku tak menciummu.... Allah hu akhbar. Mengapa ??? Mengapa ?? Mengapa?...

Kuhubungi suamiku menyampai berita pilu ini. "Innalillahiwainnailaihirojiun", kita balik kata suamiku. Lantas aku menulis pada buku kebenaran pulang di pejabat. Kuhubungi adik-adikku memberitahu penuh sebak suaraku. PK KOKO, Cg Azizan Aboo menyuruh aku pulang cepat. Terima kasih cikgu kerana memahami. Ucapan takziah daripada kawan-kawan kubalas dengan senyum yang kupaksa kerana dalam hariku tak dapat mengawal tangisanku. Kuhargai ingatan ikhlas Kak Dee buat aruah. Kucapai kunci kereta terus ke sekolah anak-anakku. Selesai urusan anak-anak suamiku pulang lalu bergegas pulang ke kampung.

Perjalanan 90km terpaksa dilalui dengan penuh kesabaran. Ayat-ayat suci kubaca khusus buat Tok yang amat kukasihi. Alhamdulillah hampir jam 11.00 pagi kami sampai ke rumah Mak Long di Guar Kepayang. Aku menahan perasaan sedih dalam-dalam. Kuhampiri sekujur tubuh kaku Tok yang sering aku rindui. Tok telah tiada. Ibuku sedang membaca Yasin dihujung kepala Tok. Kutatap wajah Tok putih bersih berseri-seri seolah-olah sedang tersenyum kepadaku. Kupeluk, kucium Tok sepuas hatiku. Maafkan ida Tok kerana telah lama tidak menjenguk Tok. Maafkan ida.. Walaupun kutahu hakikatnya ucapanku sudah tiada ertinya lagi. Kali terakhir kucium Tok pada hari raya haji tahun lalu. Tok masih sihat waktu itu. Kuluangkan masa berbual-bual dengan Tok. Kupeluk bahu Tok. Kucium pipi Tok, Tok senyum malu, Kucium tangan Tok, Kukucup dahi Tok sungguh menenangkan kurasa. Tok lebih banyak senyum daripada berkata-kata.

Aku suka bergurau dengan Tok. Aku suka melihat Tok ketawa menampakkan giginya yang sebatang itu. Rindunya aku pada Tok. Ohhh tidak Tok telah kembali kerahmatullah, mengadap Pencipta Yang Esa. Kuambil air sembahyang ku sertai saudaraku yang lain membaca ayat-ayat suci Al-Quran buat Tok. Aku sama-sama mandikan Tok, Pakaikan bedak dan air mawar buat Tok.Kucium Tok buat kali yang terakhir. Ku pergi ke kubur bersama keluarga yang lain. Talkin yang dibaca abahku (bapa saudaraku tapi kupanggil abah) terlalu menyebakkan semua yang ada di kubur waktu itu, ayahku juga menitiskan air mata. apa lagi adikku, adik iparku ibu saudara dan bapa saudaraku semuanya menahan sebak. Aku sendiri terisak tanpa suara tapi air hidung keluar laju juga.

Pusara tok ku tinggalkan. tak henti-henti kubaca Al-Fatihah buat Tok. Bersemadilah Tok dengan tenang. Ya Allah tempatkan Tok yang kukasihi di tempat yang mulia, tempat yang Engkau janjikan buat para Solehin. Ya Allah ampunkan segala dosa Tok. Halalkan segala makan minum Tok. Cucuri Rahmat buat Tok. Rahmati segala amal ibadat yang telah Tok lakukan sepanjang hidupnya. Tok banyak berjasa kepadaku. Dari kecil hingga dewasa Tok tidak pernah jemu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepadaku. Menghulurkan bantuan, wang ringgit juga sokongan sehingga aku berjaya. Tok sentiasa mengingatkanku supaya tidak meninggalkan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, sentiasa berusaha untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang Allah Taala.

Tok, segala nasihat dan tunjuk ajarmu kujadikan landasan hidupku. Terima kasih Tok, kau tidak pernah jemu menasihatiku. Kenanganku bersamamu akan kuabadikan dalam hatiku sebagai kenangan yang terindah dalam hidupku. Akan ku ziarahi pusaramu dalam izin suamiku nanti. Selagi nyawaku dikandung badan aku tidak akan berhenti mendoakanmu, Al-Fatihah buatmu Tok. Ida sayang Tok. Ida rindu Tok...